Terkadang bila melayari facebook dan weblog rakan-rakan, saya merasa hairan melihat sesetengah facebook dan weblog muslimah yang bertudung dan yang menutup aurat; mereka tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.
Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda wahai muslimah sekalian, namun sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda letak itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu yang enggan melihat wajah-wajah itu dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ia ditutup dari pandangan umum?
Muslimahku, dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya.
Dikalangan mereka, ada yang bagus; yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa Yang mereka kerjakan."
Hati Yang Sakit Bertambah Sakit.. Kasihanilah Masyarakat..
Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.
Muslimahku, kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih pantas; sesegera mee segera.
Alangkah malangnya andai wajah-wajah yang terpamer itu mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki. Lelaki yang mantap imannya akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda... untuk menikahi anda tidak mengapa, tetapi jika sekadar mahu memuaskan nafsu?
Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin ia juga fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi dan dengan perkongsian itu, secara tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, berhati-hatilah!
Jalan Penyelesaian?
Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya.
Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Adakah memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?
Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan perkongsian atau posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar kepada rakan muslimah anda itu.
Ingat, wajah anda adalah anugerah Allah SWT.
Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.
Selamat bermujahadah sahabat muslimahku!
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment